Keindahan Sabar

Assalamualaikum,

Maksud sabar itu adalah menahan diri daripada keluh kesah terhadap sesuatu yang tidak kita sukai. Menurut Imam al-Ghazali : “Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah, walaupun ia tidak mengeluh tetapi sifatnya berubah daripada kebiasaan, maka itu tanda dia tidak redha dengan apa yang menimpanya”. Beliau juga menegaskan sabar itu mempunyai dua sifat iaitu yakni bersifat fizikal yang berupa seksaan, penyakit dan kesusahan yang menimpa jasad dan sifat kedua, dari segi rohani seperti ejekan, perpisahan, kekecewaan, kegagalan, kematian dan kebanyakkan perkara yang menekan nafsu dan bertentangan dengan kehendak diri.

Sabar itu bukan satu perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan. Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Muslim “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari”. Manusia, haiwan dan tumbuhan memerlukan sinaran mentari untuk meneruskan kehidupan walaupun ia panas dan tidak menyelesakan.

Allah menjadikan malaikat, haiwan dan manusia itu dengan sifat yang berbeza. Malaikat tidak mempunyai nafsu, haiwan pula memiliki syahwat tanpa akal dan hati nurani manakala manusia di anugerahkan dengan akal dan nafsu yang menjadikan sabar itu sebagai tuntutan yang khusus ke atas manusia untuk melawan nafsu dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Terdapat tujuh kategori sabar iaitu :
  1. Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah. 
  2. Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar. 
  3. Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu. 
  4. Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut shaja’ah (berani). 
  5. Sabar dalam mengekang marah. Sabar ini disebut al-hilm (lemah lembut). 
  6. Sabar dalam menyimpan rahsia. Sabar ini disebut katm. 
  7. Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan . Sabar ini disebut zuhud. 

Dalam kita bersabar, musuh yang perlu dihindari adalah sikap tergesa-gesa, putus asa dan marah. Kesabaran akan lenyap apabila apa yang dihajati lambat ditunaikan. Marah pula perlu pada tempatnya iaitu apabila Islam dihina dan diinjak-injak bukan apabila kepentingan diri tergugat.

Sesungguhnya sabar itu bukan sifat yang sia-sia kerana padanya terdapat banyak kelebihan antaranya malaikat mengucapkan salam kepada orang Mukmin yang sabar, ia juga sumber kejayaan, pahala berganda, beroleh magfirah dan yang paling istimewa, disukai dan dipuji oleh Allah. “Sesungguhnya Kami mendapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba.”(Surah Sad 38:44).

Sabar itu ganjarannya syurga, yakinlah dengan janji Allah, hanya dengan itu penderitaan atau ujian yang dilemparkan di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di syurga. Ternyata sabar itu indah.

Sumber: artikel islam apa itu sabar.


p/s: sekadar perkongsian dan motivasi untuk faz sendiri.
Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Terbang Tunduk by Fynn Jamal

Boulevard Kuching Sarawak

Selamat Hari Jadi Arwah Ayah